Make your own free website on Tripod.com
 
Tazkirah
Oleh 
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT 

Layanan baik Abu Ayub terhadap Nabi

 

ABU BAKAR bin Abi Syaibah ibnu Ishak dan Ahmad bin Hanbal meriwayatkan; bahawa Abu Ayub, tuan rumah tempat Nabi s.a.w. berhenti di Madinah, memberi tahu orang ramai tentang peristiwa bersejarah itu: Setelah Nabi s.a.w. sampai di Madinah, baginda berhenti di rumahku dan duduk di tingkat bawah. Aku bersama isteriku (sebagai tuan rumah), duduk di bahagian atas. Lalu aku menyatakan hasrat kepada Nabi: Wahai Nabi Allah, demi ayah dan ibuku. Sesungguhnya aku merasa tidak selesa sekiranya aku dan keluarga berada di tingkat atas, sedangkan baginda duduk di tingkat bawah. Oleh itu silakan Rasulullah pindah ke tingkat atas, kami sekeluarga akan duduk di tingkat bawah. 

Nabi s.a.w. bersabda (yang bermaksud): Wahai Abu Ayub, sesungguhnya kami (Nabi s.a.w. dan Abu Bakar r.a.) tergolong orang yang sudah tua. Kasihanilah kami dan juga tetamu kami yang menghadapi kesukaran untuk naik turun menemui kami. 

Abu Ayub meminta supaya Nabi s.a.w. dan juga Abu Bakar r.a. naik ke tingkat atas, kerana pada pendapatnya tidak sopan jika dia dan keluarganya berada di tingkat atas, sedangkan Rasulullah yang mulia itu berada di tingkat bawahnya, seolah-olah berada di bawah tapak kakinya. 

Bagaimanapun jawapan yang diberikan oleh Nabi s.a.w. yang begitu diplomasi, di samping kewajaran alasan yang sangat munasabah itu menyebabkan Abu Ayub dan keluarganya setuju dengan kedudukan asal, iaitu tinggal di bahagian atas, sementara Nabi s.a.w. dan Abu Bakar r.a. menetap di tingkat bawah. 

Suatu malam berlaku tumpahan air di bahagian atas, Abu Ayub sangat bimbang jika air yang tumpah itu akan tiris ke bawah dan titis jatuh ke atas Nabi s.a.w.. Sudah pasti ia akan menyusahkan hati baginda yang berada di tingkat bawah. Abu Ayub segera mengelap air tumpah itu dengan kain selimutnya, sedangkan kain selimut itu hanya sehelai sahaja. 

Abu Ayub dan isterinya tidak merasa sedih terpaksa tidur dalam kedinginan kerana terpaksa tidur tanpa selimut, tetapi yang dibimbangkan kalau terjadi lagi tumpahan air. Ketika itu tiada kain untuk lap air, sukar untuk mengelakkan tiris air yang akan mengalir ke tingkat bawah, di mana Nabi s.a.w. berada. 

Justeru itu hati Abu Ayub sekali lagi dilanda resah, sekali lagi beliau merayu kepada Nabi s.a.w., agar sudi pindah ke tingkat atas sebagaimana rancangan awalnya. Kali ini Abu Ayub dengan segala rendah hati mohon agar Nabi sudi duduk di tingkat atas, untuk mengelak dari sebarang tumpahan yang boleh mengganggu kerehatan Nabi s.a.w.. Akhirnya Nabi s.a.w. bersetuju dengan permintaan Abu Ayub, sebagai mengambil hati tuan rumah yang bersusah payah memberikan tempat tinggal kepada Nabi. Kemudian baginda berkemas dan pindah ke tingkat atas. 

Cerita pertama mengenai Abu Ayub yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah itu, untuk menggambarkan betapa hebatnya pengorbanan seorang sahabat terhadap tetamu yang dihormati, iaitu Rasulullah s.a.w.. Beliau berusaha untuk melayan yang sebaik mungkin terhadap tetamu agungnya itu. 

Kisah kedua ialah mengenai hidangan malam yang disajikan oleh keluarga Abu Ayub kepada Nabi s.a.w.. Setelah selesai Nabi menikmati hidangan makam malam, lalu Abu Ayub menyuruh seorang budak untuk mengangkat bekas makanan. Sebaik bekas makanan sampai ke dapur, lalu Abu Ayub dan keluarganya mengambil baki makanan Nabi yang masih tersisa sebagai sajian makan malamnya. Mereka membersihkannya walaupun hanya sedikit kuah, semata-mata untuk mendapatkan keberkatan dari tangan Nabi yang mulia. 

Pada ketika yang lain pula isteri Abu Ayub telah menghidangkan makan malam dengan campuran bawang besar dan bawang putih. Sebagaimana lazimnya Abu Ayub akan melihat bekas makanan Nabi, tetapi setelah dibawa masuk ke dapur di dapati sajian malam tidak dijamah langsung oleh Nabi s.a.w.. Kejadian itu menimbulkan tanda tanya dan mengejutkan hati Abu Ayub dan keluarganya. Beliau merasa bimbang kerana tetamu agungnya tidak menikmati hidangan yang disajikannya. Sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena pada sajian tersebut. 

Oleh kerana makanan yang disajikan itu tidak disentuh oleh Nabi, maka hajat Abu Ayub tidak tercapai untuk mendapatkan barakah dari baki makanan bekas sentuhan tangan Nabi. Melihat air muka Abu Ayub yang merasa sedih, lalu Nabi s.a.w. menjelaskan kedudukan sebenar. Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menghidu bau yang tidak digemari iaitu bau bawang dalam makanan yang disajikan. Tentang bau makanan itu Nabi tidak dapat berbuat apa-apa kerana baginda adalah seorang Rasul yang sentiasa dalam keadaan bermunajat dengan Allah SWT. Sama ada bermunajat dengan membaca ayat-ayat al-Quran, begitu juga bermunajat melalui ibadah solat, ataupun berdialog ketika dikunjungi oleh malaikat Jibril. 

Sudah semestinya Nabi s.a.w. sentiasa menjaga tata tertib ketika bermunajat, adalah tidak wajar bagi seorang Rasul bermunajat dengan Allah SWT dalam keadaan mulut berbau. Oleh itu Nabi menghindari bau kuat yang tidak enak terutama bau bawang. Bagaimanapun Nabi s.a.w. tidak menghalang orang lain memakannya. 

Setelah mendapat penjelasan dari Nabi s.a.w., lalu Abu Ayub dan keluarganya masuk ke ruang dapurnya dan makan makanan yang berperisa bawang itu. Bagaimanapun, sejak dari peristiwa itu keluarga Abu Ayub tidak lagi masak dan menghidangkan makanan yang berperisa bawang, kerana mereka sedar bahawa bau bawang tidak digemari oleh Nabi s.a.w.