Make your own free website on Tripod.com
Tafsir Al-Quran
Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tafsir Surah An-Nisa' ayat 63

Munafiq menghina Allah

 

Dia telah menjadi murtad, membahayakan masyarakat dan negara Islam. Dia juga menunjukkan contoh jahat di hadapan Yahudi sedangkan Yahudi itu mahu berhakimkan Rasulullah s.a.w. semata-mata kerana mahu memenangkan dirinya maka Saidina Umar menjatuhkan hukuman yang betul ke atas munafiq itu.

Tuntutan keluarga si munafiq itu ditolak, tidak diizinkan oleh Allah SWT untuk menerimanya.

Firman Allah yangbermaksud:

"Mereka itulah orang-orang yang Allah Mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatlah mereka serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka."

(Surah an-Nisa': 63)

Sifat munafiq yang ada di dalam hati mereka diketahui oleh Allah, mereka tidak boleh menyembunyikannya. Orang yang tidak yakin dengan Islam dan seiapa sahaja , tidak boleh menyembunyikan hatinya daripada Allah kerana Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia walaupun mereka berpura-pura sembahyang, mengerjakan haji dan membuat kebajikan tetapi dia tidak percaya kepada hukum Allah.

Ini kerana percaya kepada syariat Allah adalah termasuk di dalam beriman kepada Allah. Allah Ta'ala Maha Mengetahui bersifat dengan ilmu. Apabila ada manusia yang menjadikan hukum manusia sebagai hukum yang dilaksanakan kononnya untuk menyelesaikan masalah rakyat, seolah-olah orang itu beranggapan bahawa Allah Ta'ala tidak berilmu dan tidak bijak menyelesaikan masalah mereka.

Maha Tinggi Allah dan Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucap dan laksanakan.

Orang munafiq tidak boleh berdalih dan tidak boleh menipu kerana Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka.

Oleh itu berpalinglah dari mereka yakni jangan menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Biarkan mereka mudah-mudahan suatu hari nanti mereka bertaubat. Bagaimanapun nasihatilah mereka dan katakan kepada mereka berkenaan dengan diri mereka dengan kata-kata yang tegas lagi jelas, boleh difahami dan menggerunkan sama ada memberi berita gembira ataupun amaran.

Seterusnya Allah menegaskan dasar diutuskan rasul. Allah bukan sahaja mengutuskan rasul tetapi ada perkara sebaliknya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutuskan seseorang rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah."

(Surah an-Nisa': 64)

Semua rasul yang diutuskan oleh Allah ditaati perintahnya dan ditinggalkan larangannya dengan izin, ilmu dan petunjuk dari Allah SWT. Jika kita menolak rasul bermakna menolak Allah Ta'ala. Oleh itu wajib orang-orang yang beriman menerima rasul, taat kepadanya, menunaikan perintah dan meninggalkan larangan, redha kepada hukuman dan menyelesaikan masalah dengannya kerana kedatangan rasul itu ialah bertujuan untuk ditaati dengan izin Allah SWT.

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah amat menerima taubat lagi amat mengasihani."

(Surah an-Nisa': 64)